AA's blog

Adrina Adie

Vaksin 5-serangkai di Malaysia tidak mencukupi?


Kementerian Kesihatan terus mengadakan sesi perbincangan dengan syarikat pembekal dan konsesi bagi memastikan bekalan vaksin 5-Serangkai (DTaP-IPV//HiB) dalam negara sentiasa mencukupi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia menggunakan vaksin 5-Serangkai dalam Program PolioKanak-kanak Kebangsaan, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di fasa akhir Program Pembasmian Polio dunia.

Namun, sejak Jun tahun ini, beliau berkata seluruh dunia menghadapi masalah bekalan vaksin yang mengandungi "inactivated polio vaccine" (IPV) dan "acellular pertussis" (kombinasi dalam vaksin 5-Serangkai) yang hanya terdapat satu syarikat pembekal tunggal untuk memenuhi permintaan global.

“ Keutamaan akan diberikan kepada klinik-klinik yang berada jauh di pedalaman dan sukar dihubungi ”

Katanya, keadaan ini memberi impak kepada perkhidmatan imunisasi negara yang mana bekalan vaksin kepada fasiliti kesihatan swasta terputus dan bekalan stok penimbal di fasiliti kesihatan kerajaan dan syarikat konsesi juga menurun.

"Penggunaan vaksin 5-serangkai di fasiliti kesihatan kerajaan turut meningkat berikutan rujukan dari fasiliti kesihatan swasta. Penjadualan semula temu janji sesetengah pelanggan perlu dilaksanakan sementara mendapatkan bekalan vaksin," kata beliau.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan berusaha keras memastikan bekalan berterusan melalui beberapa siri perbincangan dengan syarikat pembekal dan konsesi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata langkah-langkah yang diambil termasuk memantau bekalan dan stok vaksin di seluruh negara dan membuat agihan semula vaksin ini di kawasan operasi sekiranya perlu dan membuat pesanan secara mingguan bagi memberi peluang kepada daerah dan klinik lain mendapat bekalan.

"Keutamaan akan diberikan kepada klinik-klinik yang berada jauh di pedalaman dan sukar dihubungi. Ia bagi memastikan perkhidmatan imunisasi tidak terputus dan seterusnya dapat membendung penularan penyakit cegahan vaksin," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa penggunaan vaksin Polio secara suntikan IPV, sekurang-kurangnya satu dos mesti dilaksanakan di semua negara dalam pembasmian Polio dunia.

Selain itu vaksin berkenaan diberikan sebanyak empat dos kepada kanak-kanak pada usia, 2, 3, 5, dan 18 bulan untuk mencegah penyakit difteria, kancing gigi , batuk kokol dan jangkitan Haemophilus influenza jenis B.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham juga menyaran ibu bapa dan penjaga, khususnya yang lazim mendapatkan perkhidmatan imunisasi di klinik swasta agar mematuhi tarikh temu janji yang diberi oleh kakitangan kesihatan kerajaan bagi memastikan imunisasi 5-serangkai ini diterima.

Beliau berkata liputan imunisasi yang sentiasa melebihi 95% dalam komuniti akan dapat memutuskan rantaian penularan penyakit cegahan vaksin dan mengelakkan berlakunya wabak.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info