AA's blog

Adrina Adie

Telent rancang bukak pusat jualan di Kuala Lumpur

Rancangan Telent untuk membuka sistem pusat jualan runcit di ibu negara sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran lain di Asia Tenggara pada suku ketiga tahun ini.

Syarikat berpangkalan di China, Telent Outdoor (Hong Kong) Technology Co Ltd, merancang untuk membuka sistem pusat jualan (POS) runcit di Kuala Lumpur sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran lain di Asia Tenggara pada suku ketiga tahun ini.

Syarikat yang berada pada kedudukan kedua di China dalam pasaran pakaian dan peralatan aktiviti luar itu, pakar dalam mereka bentuk, mengeluar, memasar, pengurusan jenama dan pengedaran pakaian, kasut dan peralatan aktiviti luarnya yang berjenama.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Hui Tang Tat berkata, syarikat itu menjana perolehan sebanyak RM575.549 juta pada tahun lepas, dengan peningkatan kapasiti pengeluarannya.

Sumber utama perolehan ialah pakaian dan kasut yang mencatatkan pertumbuhan, masing-masing pada 43.8 peratus dan 49.5 peratus, dengan kategori produk baharunya, peralatan, menyumbang 6.7 peratus.

Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM144.801 juta pada tahun lepas, kata Hui kepada pemberita selepas lawatan ke kemudahan pembuatan dan pejabat syarikat di sini pada Ahad.

Setakat ini, syarikat mempunyai 817 POS runcit dan 23 pengedar rangkaian di seluruh China

"Pasaran Malaysia sangat kompetitif, dan berada di sana akan menawarkan platform dan peluang untuk berkembang di rantau ini.

"Mungkin dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kami boleh memanfaatkan pasaran Asia lain memandangkan kami berhasrat menjadikan jenama kami diiktiraf di peringkat global," kata Hui.

Mengenai rancangan penyenaraiannya, Hui berkata kumpulan telah mengemukakan draf prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau enggan mendedahkan jumlah yang disasarkan untuk diraih daripada tawaran awam awal (IPO), tetapi berkata 45 peratus akan diperuntukkan untuk rangkaian pengedaran dan pengembangan POS runcit dengan 10 peratus bagi pengiklanan serta penjenamaan.

Bakinya akan digunakan untuk mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan produk (10 peratus), modal kerja (25 peratus) dan perbelanjaan penyenaraian (10 peratus).
IPO Telent akan melibatkan penerbitan 103.390 juta saham baharu pada US$0.10 setiap satu, yang mewakili 14.2 peratus daripada modal terbitan dan berbayarnya.

Sebanyak 30.62 juta saham boleh dilanggan oleh rakyat Malaysia, manakala 72.77 juta diperuntukkan bagi tawaran persendirian kepada pelabur terpilih.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info