Masyarakat kini semakin sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan dan sangat prihatin terhadap kualiti bekalan air yang sampai ke rumah-rumah mereka. Justeru itu, majoriti rumah di Malaysia memiliki penapis air yang terdiri daripada pelbagai jenama dan fungsi. Penggunaan alat penapis air di rumah menjadi begitu popular, tambahan pula dengan promosi yang hebat dari ajen penjual. Di negara kita, bekalan air awam telah ditambah dengan fluorida untuk membantu menangani masalah karies gigi. Oleh yang demikian, dengan penggunaan alat penapis, dikhuatiri kandungan fluorida yang optimum tidak dapat disalurkan kepada masyarakat.
Jenis-jenis alat penapis
Sistem rawatan air di rumah terdiri daripada pelembut air dan penapis air. Sistem utama air ini pula terbahagi kepada dua kategori asas iaitu punca tempat air masuk (Point of entry = POE) dan punca tempat air diguna (Point of use = POU) . Sistem rawatan air di rumah kategori POE akan merawat semua air yang disalur masuk dan yang digunakan di rumah. Sistem POU pula merawat sebahagian air yang masuk pada paip tertentu sahaja dan air ini hanya digunakan untuk minum atau memasak.
- Alat penapis air osmosis berbalik. (Reverse Osmosis(RO))
- Ia berfungsi untuk menapis semua mineral, bahan kimia dan bahan pepejal terlarut dalam air. Ia mempunyai selaput separa telap yang nipis yang bertindak menapis bahan-bahan tersebut.
- Alat penapis air penyulingan.
- Penyulingan adalah proses menyingkirkan segala kekotoran dengan memanaskan air sehingga mencapai takat didih. Wap yang terhasil akan melalui proses penyejukan dan bertukar menjadi air suling.
- Alat penapis air karbon teraktif.
- Sistem ini menggunakan bahan penyerap pepejal yang mampu menyerap gas, cecair dan semua benda yang terapung dalam air pada permukaannya.
Sejauh mana populariti penggunaan alat penapis air di rumah ?
Kaji selidik Kualiti Air Pengguna Peringkat Kebangsaan Januari 1999 menunjukkan bahawa 38% orang dewasa dilaporkan menggunakan alat penapis air di rumah, iaitu peningkatan sebanyak sepuluh peratus sejak tahun 1995.47% Responden menyatakan bahawa mereka akan lebih cenderung untuk membeli rumah yang telah dilengkapi oleh alat penapis air jika mereka berkeinginan untuk memiliki rumah baru.
Kajian di kalangan isi rumah di Pahang pula menunjukkan bahawa hampir separuh daripada mereka mempunyai satu atau lebih alat penapis air di rumah masing-masing. Namun begitu, 44% yang belum menggunakan alat penapis air bercadang untuk memilikinya.
Kenapa penggunaan alat penapis air di rumah menjadi pilihan?
Penggunaan alat penapis air di rumah adalah untuk manfaat kesihatan dan meningkatkan kualiti air tersebut. Selain itu, majoriti pengguna menggunakan alat penapis air untuk menyingkirkan rasa payau pada air dan juga untuk menyahkan warna atau bendasing dalam bekalan air awam.
Apakah kesan penggunaan alat penapis air di rumah pada kesihatan mulut?
Florida yang terdapat dalam air minuman merupakan satu kaedah yang paling berkesan, selamat dan kos efektif dalam mencegah penyakit karies gigi (gigi rosak) . Justeru itu, 76% penduduk di Malaysia menerima bekalan air awam berflorida.
Kebanyakan sistem penapis air dengan sistem karbon teraktif tidak memberi kesan ke atas kandungan florida dalam bekalan air. Namun begitu, alat penapis air yang menggunakan sistem osmosis berbalik (reverse osmosis) atau sistem penyulingan boleh menurunkan atau menyingkirkan semua kandungan fluorida dan mineral-mineral lain dalam air minuman. Oleh yang demikian, fungsi fluorida iaitu untuk membantu kesihatan gigi tidak akan berkesan. Ini seterusnya akan meningkatkan kejadian karies gigi di kalangan masyarakat kerana kandungan florida dalam bekalan air tidak mencapai paras optimum yang diperlukan iaitu antara 0.7 – 1.0 ppm. Di kawasan yang mempunyai kandungan flourida bawah 0.7 ppm pula, adalah disyorkan untuk mendapatkan terapi flourida tambahan terutamanya golongan kanak-kanak. Preskripsi flourida yang tepat kepada pengguna (kanak-kanak) hanya boleh dilakukan jika kita mengetahui kepekatan flourida dalam air yang dibekalkan kepada pengguna. Justeru itu, pegawai-pegawai pergigian di daerah masing-masing perlu mengukur kepekatan flourida secara berkala agar paras optimum itu sentiasa dicapai. Jika sebaliknya, langkah-langkah pembaikan perlu dilakukan.
Fungsi florida
Gigi adalah struktur yang paling keras dalam badan kita. Kekerasan gigi kita berpuncadaripada kristal yang dikenali sebagai ‘hydroxyapatite’. Kristal ini sangat sensitif terhadap asid (yang terbentuk hasil pencernaan gula) dan ion florida. Jika asid menyerang gigi kita, dimineralisasi (penyingkiran mineral) permukaan gigi akan berlaku, lalu terjadi kaviti atau lubang . Kombinasi ion florida, ion kalsium dan ion fosfat dalam air liur membantu pembentukan semula struktur gigi yang hilang pada peringkat awal.Jika tiada ion florida, lubang boleh menjadi lebih besar. Namun begitu, dengan kewujudan ion florida dalam bekalan air dan ubat gigi, lubang yang kecil akan mengalami remineralisasi (kemasukan mineral) semula. Permukaan gigi (enamel) akan kembali sembuh.
Kebaikan florida
- Membantu penyembuhan gigi berkaries (karies peringkat awal)
– Gigi berkaries akan mengalami pemineralan semula
– Kawasan pemineralan semula itu akan berwarna perang - Membantu meningkatkan daya tahan gigi terhadap asid
- Mengganggu fungsi bakteria dalam plak
- Mempercepatkan pembentukan struktur dalaman gigi kekal yang baru tumbuh
- Memberi kesan positif kepada bentuk gigi
– Alur gigi yang lebih cetek
– Memudahkan pembuangan plak dari permukaan gigi
Keburukan Florida
- Fluorosis
- Permukaan gigi kekal akan menjadi keputihan/keperangan dan kadangkala rapuh akibat pengambilan florida yang berlebihan, contohnya anak-anak yang menelan ubat gigi semasa memberus atau meminum air yang mempunyai kandungan florida dalam air melebihi 1 ppm. Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa/penjaga perlulah mengawasi anak-anak semasa memberus gigi. Jika perlu, gunakan ubat gigi tanpa florida untuk anak-anak yang masih kecil.
- Flourosis selalunyatidak memerlukan rawatan jika kesannya tidak terlalu teruk. Namun begitu, jika berlebihan, rawatan korona, tampalan komposit atau bleaching(pemutihan gigi) boleh dilakukan.
Kesimpulan
- Pilihlah alat penapis air yang bersesuaian. Pastikan anda tahu sistem yang digunakan oleh alat penapis air tersebut. Sistem penapis air osmosis berbalik (reverse osmosis) dan penyulingan boleh mengurangkan kandungan fluorida dan mineral dalam air..
- Alat penapis air osmosis berbalik boleh disyorkan untuk kawasan yang mempunyai kejadian flourosis yang tinggi kerana alat penapis ini dapat mengurangkan kepekatan florida berbanding alat penapis air yang lain.
- Pemantauan kandungan flourida dalam bekalan air terawat perlu sentiasa dijalankan agar manfaat florida dapat dirasai semua.
- Kenal pasti masalah yang melibatkan terlebih ion florida seperti permukaan gigi bertompok putih atau keperangan (Fluorosis). Kunjungilah klinik pergigian yang berdekatan agar masalah ini dapat ditangani.
Dr. Anis Ezrina adalah seorang pakar pergigian restoratif yang sangat mementingkan pendidikan pesakit terhadap masalah pergigian. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
- Prabhakar A.R et al. The effect of water purification systems on fluoride content of drinking water. Journal of Indian Society of Pedodontics and Preventive Dentistry. 2008; 26 (1): 6-11
- Loh KH, Yaacob H, Adnan N, Omar S, Jamaludin M. A Study of The Effect of Home Water Filtration Systems On Fluoride Content of Drinking Water in Johor. Malaysia Dental Journal
- Lopez I, Asmani AR, Kwan GL. Effect of Household Water Filters on the Fluoride Level in Filtered Water. A Compendium of Abstracts 2006, Oral Health Division, Ministry of Health 2007; 88
- http://ccnmtl.columbia.edu/projects/otm/pt03.html