AA's blog

Adrina Adie

10 Teknik Ajar Matematik Pada Anak Dengan Cara Mudah!



1. Gubahlah lagu anda sendiri.

Contohnya “Satu, satu saya sayang Allah, dua, dua saya sayang Rasul”dan seterusnya. Contoh lain “One little, two, little three, little . Four, little five, little six, little ….”

2. Kaitkan dengan nombor.

Apabila melakukan sesuatu kaitkan dengan nombor. Contohnya menaiki tangga, kiralah tangga bersama-sama anak. InsyaALLAH nombor 1 hingga 20 pasti cepat dia mengingati.

3. Beri tugasan.

Jika anda ingin anak membantu anda mengambil sesuatu, kaitlah dengan nombor. Contohnya, “Ali, tolong ummi ambil satu pampers.”dan ulang pula dalam Bahasa Inggeris “One only” sambil jari anda menunjukkan satu jari.

4. Cinta buku.

Belikan buku seawal umurnya masih bayi. Memanglah bayi tidak boleh membaca tetapi anda boleh membacakan untuknya. Pemilihan buku juga sangat penting. Pilihlah yang mempunyai tulisan yang besar dengan font yang menarik dan sesuai untuk dibaca. Warna juga adalah penting. Biarkan anak anda memegang buku dan belajar bahawa membaca itu tabiat yang baik.

5. Belajar melalui persekitaran.

Tentu anda banyak menghabiskan masa bersama anak di dalam kereta kan? Jangan biarkan anak anda di dalam kereta tanpa dia belajar sesuatu daripada alam sekeliling yang dilihatnya. Jika anda nampak stesen minyak, kenalkan kepada anak anda “Tengok tu, Ali Petronas”. dan “Yang tu pulak Shell” kemudian anda tanya “Berapa lori yang Ali nampak?”. Kiralah bersamanya. Jika lalu di Plaza Tol, katakan padanya anda perlu membayar sejumlah wang bila ada tol. Sesekali berikan dia wang untuk diberikan sendiri kepada petugas tol. Pasti dia suka.

6. Belajar menabung.

Kenalkan anak anda pada tabung. Belikan tabung yang menarik. Ajarkan mereka menabung. Tiba masa anda kira berapa tabungannya dan simpanlah di bank.

7. Ajar berulang kali.

Ketika membacakan untuk anak atau menunjukkan kad imbas padanya, tunjukkan dengan jari anda dan ulang berkali-kali. Contohnya, “This is number ONE”.

8. Suruh anak baca nombor plat kereta di hadapan.

Setiap kali berada dalam kereta, sebutkan abjad berserta nombornya sekali. Jika ada dua beradik, ajak mereka berlawan siapa paling cepat dapat jawab.

9. Minta anak tengok jam.

Selepas tengok jam, minta dia beritahu kita pukul berapa sekarang ini. Sangat berguna jika ibu berada di dapur dan anak berada di ruang tamu. Mula-mula, mungkin anak akan jawab “Jarum panjang dekat nombor 10, jarum pendek dekat nombor 2″. Lama-kelamaan, dia akan tahu waktunya.

10. Guna bahasa.

Bahasa apa yang anda hendak ajarkan kepada anak? Tentu konflik juga dengan suami bagi menentukan bahasa yang dia patut belajar. Ramai mengakui bahawa bahasa Inggeris lebih banyak dipilih oleh ibu bapa sekarang kerana tuntutan semasa. Namun bahasa Melayu tidak seharusnya dipinggirkan. Jepun dan Korea boleh maju dengan bahasa ibunda mereka, mengapa kita tidak. Jadi tidak salah jika anda menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris untuk mendidik anak. Caranya, sebut di dalam Inggeris dan kemudian ulang pula ke bahasa melayu. Contohnya, “What is this?” dia akan jawab “Umbrella”. Bila ulang bertanya di dalam bahasa Melayu “Ini apa?”dia akan menjawab “Payung”.

Semuanya perlu diajar dan pimpin oleh anda. Kita adalah guru pertama pada anak-anak kita. Luangkanlah masa bersama anak-anak.

Selamat mencuba!
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info