AA's blog

Adrina Adie

PM Masih Yakin, "The Silence Majority" Terus Menyokong Kerajaan


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau masih yakin bahawa kumpulan majoriti senyap atau "The Silence Majority" masih terus menyokong kepimpinan negara.

Perdana Menteri berkata beliau percaya bahawa majoriti senyap dalam kalangan rakyat tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan apa sahaja agenda atau isu yang dibangkitkan oleh kumpulan ekstremis.

"Hanya sesetengah pihak seperti golongan ekstremis cuba mensensasikan isu-isu kecil dan memecahbelahkan kita. Kita tidak perlu tunduk kepada elemen negatif mereka.

"Kita harus ingat, integrasi dan perpaduan dalam kalangan kumpulan majoriti akan meletakkan Malaysia berada dalam keadaan yang harmoni, kukuh dan stabil pada tahun-tahun mendatang," katanya pada sambutan Rumah Terbuka Ugadi di Dataran Merdeka di sini, pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan, Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia Tan Sri M.Kayveas dan bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa komited dalam mengekalkan dan melindungi kesejahteraan semua masyarakat di negara ini.

Mengenai masyarakat India di Malaysia, Najib berkata kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka walaupun adanya beberapa masalah dan cabaran dalam proses mencapainya.

"Saya harus akui bahawa masih ada masalah dan cabaran yang dihadapi masyarakat ini yang memerlukan perhatian daripada kerajaan," kata beliau.

Najib berkata kerajaan telah mengumpul input dan pendapat daripada setiap pihak dalam masyarakat India untuk meningkatkan taraf hidup mereka bagi dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Menurutnya kerajaan juga sentiasa mengakui inisiatif yang diambil oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam melindungi kesejahteraan masyarakat.

"Kami mendengar suara dan pendapat yang dapat membantu kami. Itulah sebabnya kita membantu mereka dengan memperuntuk bantuan kewangan,"katanya.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info