Pemergian Dr Jamaluddin satu kehilangan buat negara - Al Fatihah
Menurut Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terbunuh dalam nahas helikopter petang semalam sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.
"Kemalangan ini sangat mengejutkan dan tidak diduga sama sekali. Saya menganggap kejadian ini sebagai takdir Allah SWT. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," kata DS Azlan. DS Azlan turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.
Sementara itu Abdul Wahid berkata kali terakhir beliau bercakap dengan Allahyarham melalui telefon pada pukul 2.40 petang Sabtu.
"Kami bekerjasama rapat dalam JPM (Jabatan Perdana Menteri) dan kerap berbincang dalam perkara yang ada kepentingan negara. Allahyarham adalah insan yang berjasa kepada negara dan kematiannya merupakan kehilangan kepada kerajaan dan negara," kata DS Abdul Wahid.
Helikopter yang dinaiki Allahyarham Jamaluddin meletup di udara sebelum terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Hulu Langat, Selangor kira-kira pukul 4.55 petang semalam, mengorbankan enam orang.
Lima lagi yang terkorban ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; juruterbang helikopter, Kapten Clifford Fournier; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan pembantu operasi, Aidana Baizieva.