AA's blog

Adrina Adie

Rancang cuti sekolah elak masa terbuang.


Cuti sekolah tiba lagi. Ketika ini pelbagai ragam dan keadaan dialami pelajar sekolah yang memulakan cuti semester akhir penggal persekolahan tahun 2015. Ketika ramai yang sudah mengemaskan beg sekolah masing-masing dan menutup buku lama.

Ada yang gembira dan bersedih apabila sudah menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 yang diumumkan sebelum ini. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan sekalung tahniah kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang 5A dan 7A dalam ujian itu. Kepada yang kurang menyerlah, usah bergundah-gulana kerana perjuangan belum selesai. Anda tetap boleh melanjutkan pelajaran di Tingkatan Satu pada tahun 2016 nanti.

Bercerita pengalaman cuti sekolah yang pernah saya lalui beberapa tahun lalu amatlah menarik untuk dikongsi bersama pelajar, guru dan ibu bapa kepada lebih 5,218,621 pelajar seluruh negara.

Dulu lain, sekarang pula lain. Saya menggunakan masa lapang sempena cuti sekolah ketika berada dalam alam sekolah menengah dengan melakukan kerja sampingan mencari wang saku untuk belanja digunakan ketika melanjutkan pelajaran di menara gading. Saya membantu meringankan beban ditanggung kedua ibu bapa. Ketika itu, saya berkerja sambilan di sebuah kilang memproses simen di Rawang, Selangor.

Masa yang ada juga digunakan untuk menambahkan pendapatan sampingan apabila mengambil upah memotong rumput di beberapa rumah jiran berdekatan perumahan sekitar bandar di Rawang, Selangor. Pengalaman itu cukup menyeronokkan apabila dikenang kembali. Bijak rancang program bermanfaat Kini, masa dan zaman sudah berubah.

Ramai adik pelajar kita gemar menggunakan cuti semester untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjadi pembantu jurujual di restoran, pasar raya, stesen minyak dan gerai menjaja makanan harian di kawasan kediaman mereka. Usah dilupakan pesanan lebih 400,000 guru di sekolah rendah dan menengah kepada anak murid mereka akan kepentingan mengisi masa dengan tabiat bermanfaat musim cuti persekolahan.

Kini, dapatlah dilihat anak pelajar lebih proaktif, kreatif dan berketrampilan mengisi masa lapang sempena musim cuti sekolah. Ada yang mengambil kursus jangka masa pendek, kelas bahasa, kelas kemahiran dan kelas bidang perniagaan. Sebaiknya, pelajar perlu bijak memilih dan merancang program bermanfaat sepanjang cuti persekolahan ini. Anda perlu mengikut nasihat guru yang amat berguna.

Tambahan pula cuaca yang tidak menentu mengundang bencana alam seperti banjir dan kejadian yang tidak baik berlaku di beberapa kawasan dalam negara kita. Saban kali, kita terbaca dan terdengar berita kurang baik yang berlaku kepada masyarakat pelajar di beberapa sekolah negara ini. Ada yang menghidap sakit ketika cuti sekolah dan juga ada yang meninggal dunia kerana terbabit dengan beberapa kejadian yang tidak disengajakan. Beri faedah tersendiri Cuti sekolah tidak bermakna, pelajar terus bercuti daripada buku dan juga dunia pendidikan.

Pembelajaran adalah sepanjang hayat dan tidak pernah ada noktahnya. Sebaiknya rancanglah aktiviti cuti persekolahan agar memberi faedah tersendiri. Penyertaan pelajar dengan program kecergasan, dunia keilmuan, teknologi maklumat, kesukanan, kemahiran teknikal dan kem keagamaan amat menarik untuk dipraktikkan. Ibu bapa perlu bijak memilih destinasi terbaik untuk dihantar anak mereka mengisi masa lapang. Ramai yang gemar menganjur program berbentuk kem cuti sekolah dengan pengisian slot yang amat menarik dan sesuai diikuti anak remaja.

Bagi mereka yang berkemampuan dan mempunyai sumber pendapatan mencukupi bolehlah melancong dalam negara melihat keindahan bumi Malaysia kita yang tercinta ini. Pengalaman dilalui anak pelajar kita ini amat berguna kepada mereka. Sambil merehatkan minda daripada kepenatan belajar di sekolah, mereka mampu memperoleh kenangan baharu yang amat berharga. Kepada pelajar yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sudah menamatkan alam persekolahan sekolah menengah, tahniah diucapkan.

Anda perlu bijak menyesuaikan diri melangkah kaki ke alam baharu dunia pendidikan tinggi pula. Masa senggang yang ada lebih tiga bulan boleh digunakan melakukan pelbagai aktiviti yang berguna dari semasa ke semasa. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah belajar memandu kereta, belajar berniaga, belajar kelas bahasa antarabangsa, kelas komputer dan menyertai aktiviti kesukanan.

Sertai aktiviti kemasyarakatan Tidak ketinggalan juga, aktiviti khidmat sosial dan kemasyarakatan turut boleh disertai bekas pelajar kita di seluruh negara. Sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mereka boleh menyertai program belia secara aktif di setiap kawasan kediaman masing-masing. Selain itu, saya juga ada dimaklumkan oleh seorang rakan yang juga guru dan jurulatih berpengalaman acara sukan catur bahawa banyak temasya dan kejohanan diadakan sepanjang musim cuti persekolahan.

Pengalaman menjadi atlet catur yang dimiliki pelajar sekolah mampu menggilap bakat mereka agar lebih cemerlang. Peluang yang ada ini perlu direbut pelajar dengan menguji kemampuan diri masing-masing. Pemimpin di setiap kawasan perlu memberikan sokongan padu dalam usaha memastikan penyertaan aktif generasi pelajar dalam acara catur terbabit. Minda menjadi matang dan sentiasa terbuka dalam apa jua keadaan.

Tidak ketinggalan beberapa acara sukan lain seperti bola sepak, hoki dan badminton juga boleh disertai secara aktif ketika cuti sekolah ini. Tradisi balik kampung yang diamalkan ketika musim cuti persekolahan ini juga perlu diteruskan lagi demi membudayakan amalan ukhuwah dan muafakat antara satu sama lain. Ibu bapa kebiasaannya mengambil cuti tahunan mereka membawa keluarga pulang ke kampung.

Selain dapat bermesra dengan nenek dan datuk, anak kita dapat mengenali budaya dan adat resam bangsa dengan lebih rapat lagi. Tingkat azam, komitmen Warna-warni alam cuti persekolahan terlalu indah untuk dibicarakan. Dari kenduri perkahwinan hinggalah amalan kunjung ziarah ke rumah sanak saudara, itulah yang sering bermain dalam minda generasi pelajar kita di negara ini.

Saya terus mendoakan agar pelajar, guru dan ibu bapa sentiasa sihat dan mampu selesa ketika musim cuti persekolahan ini. Teruskan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan sepanjang masa agar bersama mendokong aspirasi pendidikan kita bertaraf dunia. Selamat tinggal tahun 2015 dengan seribu satu kenangan indah untuk dikenangkan. Marilah kita tingkatkan azam dan komitmen menyambut tahun baharu 2016 dengan berjanji melonjak prestasi diri ke tahap lonjakan saujana yang mengagumkan lagi.

 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info