AA's blog

Adrina Adie

Bajet2016: Peruntukkan ICT di sekolah teknik dan luar bandar diperlukan


Kementerian Pendidikan mengharapkan peruntukan dalam pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di semua sekolah, terutamanya sekolah vokasional teknik dan sekolah di luar bandar dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Okt nanti.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekolah vokasional dan teknik memerlukan peruntukan yang lebih bagi pembangunan prasarananya untuk menaik taraf dan memenuhi taraf pendidikan yang berkualiti.

Pada masa sama, peruntukan yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan adalah bagi perbelanjaan penyelenggaraan dan membaik pulih kemudahan sekolah yang sedia ada.

Mahdzir yakin, Bajet 2016 bakal memberi manfaat dan memenuhi keperluan rakyat dan sektor pendidikan merupakan keperluan rakyat amnya.

"Selebihnya akan dibahagi, kita ada kolej vokasional yang sedang dinaik taraf dalam permesinan dan peralatan.

"Kita harap ia dapat dipenuhi dalam Bajet 2016," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Pedu.

Selain itu, Mahdzir mahu pihak sekolah lebih longgar dalam memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan setempat untuk menganjurkan aktiviti yang menggunakan kemudahan sekolah.

"Asalkan ia tidak menyalahi dari segi peraturan dan undang-undang, benarkanlah lokasi sekolah itu digunakan," katanya.

Mahadzir mengulas ketika berucap tindakan sebuah sekolah yang tidak membenarkan aktiviti sambutan Hari Sukan Negara diadakan di perkarangan sekolah pada Sabtu.

www.rawangpost.com
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info