AA's blog

Adrina Adie

Penyakit jantung penyumbang utama kematian pramatang di Malaysia


Penyakit kronik berkaitan jantung, diabetes dan strok menjadi penyumbang utama kematian pramatang di negara ini.

Walaupun pelbagai usaha dan kaedah dilaksanakan bagi mencegah masalah penyakit berkenaan, namun ia terus menjadi kebimbangan masyarakat pelbagai peringkat usia.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, dianggarkan 50 peratus kematian pramatang di negara ini adalah disebabkan penyakit kardiovaskular.

"Bila saya maksudkan pramatang adalah kematian di bawah usia 70 tahun di mana mereka masih produktif. Jangka hayat rakyat Malaysia kini berada pada purata 74 tahun.

"Secara ekonomi mereka masih (boleh) bekerja. Jadi kita telah kerugian dari segi modal insan di negara.

"Faktor utama dikaitkan dengan dengan penyakit jantung di Malaysia adalah faktor merokok dan juga penyakit hipertensi, darah tinggi," katanya pada Sesi Interaksi Antara Kementerian Kesihatan dan Kumpulan Media sempena Hari Jantung Sedunia 2015.

Selain dua faktor utama itu, Feisul menegaskan, turut terdapat beberapa lagi punca kematian pramatang seperti tidak aktif secara fizikal, obesiti dan diabetis.

Mengulas tema sambutan Hari Jantung Sedunia tahun ini, 'Aktif Setiap Hari, Gaya Anda, Cara Anda,' Feisul berkata sebarang bentuk aktiviti fizikal adalah lebih baik dilakukan berbanding tidak dilakukan langsung.

"Bila kita kata aktiviti fizikal bukan bermaksud pergi ke gimnasium ataupun perlu bersukan...tetapi sebarang bentuk aktiviti fizikal yang boleh meningkatkan pergerakan jantung kita.

"Contohnya menaiki tangga berbanding menggunakan lif, meletakkan kereta jauh sikit daripada pejabat, membasuh kereta (sendiri) berbanding hantar ke pusat mencuci kereta," katanya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk melakukan aktviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dan menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info