AA's blog

Adrina Adie

Keindahan Syria Bakal Lenyap


Apabila imej jasad si anak kecil yang terbujur kaku di gigi air sebuah pantai di Turki tersebar luas di media sosial, hati manusia mana yang tidak tersentuh.

Kalau dahulu ramai pihak yang sekadar membaca berita dengan sebelah hati tertutup, kini semakin ramai yang ikut sama meratapi nasib dan derita ribuan atau mungkin jutaan pelarian Syria yang tidak dapat lagi mengecap nikmat kehidupan di negara mereka sendiri.

Alan Kurdi yang kini kembali ‘tidur’ nyenyak dalam rahmat Yang Maha Esa itu hanya berusia tiga tahun, sedangkan kisah lara negara asalnya telah bermula lebih awal daripada usia hayatnya.

Syria yang kaya dengan keistimewaan budaya, sejarah ketamadunan, kemakmuran ekonomi dan keramahan penduduknya sebenarnya telah ‘mati’ lebih awal daripada Alan Kurdi.

Setiap kali mendapat khabar tentang Syria yang musnah dalam rentetan perang saudara dan kemudian ditakluk pula militan kejam yang melabel diri sebagai tentera Negara Islam (IS), ia berangkai dengan khabar kemusnahan pelbagai khazanah negara itu.

Lebih dahsyat dan menyayat hati, kemusnahan itu turut membawa kemusnahan erti kemanusiaan.

Remuk sungguh hati ramai pengembara yang pernah merasai semua keindahan itu di bumi tersebut.

Pelbagai aspek seni reka bangunan zaman lampau, makanan, budaya, sejarah hinggalah kepada kesantunan masyarakatnya, sama sekali telah mengubah persepsi kepada mereka-mereka yang pernah mengembara ke Syria tentang tatacara hidup kelompok Arab di tanah yang makmur dan bertuah itu.

Sayang sekali, kemakmuran dan tuah itu ternyata suatu pinjaman dan tidak kekal seperti yang diharapkan.

Beberapa kota seperti Damsyik, Aleppo, Homs, Palmyra dan Lattakia kini diambang kemusnahan dasyat.



 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info