AA's blog

Adrina Adie

Trend Berjambang jadi Ikutan? Jambang serlah maskulin ?


Jambang yang pernah menjadi gaya yang meniti populariti sekitar era 1880-an kini kembali menjadi trendi di abad ke 21.

Namun mengisi garis masa 1990-an sehingga awal 2000 pula, lelaki semakin bijak merapi penampilan termasuk rejim mencukur misai, kumis, janggut dan jambang.

Pengaruh gaya metroseksual turut menenggelamkan trend berjambang dalam kalangan jejaka.

Bagaimanapun seiring lonjakan fesyen klasik lelaki Inggeris yang mengenakan sut di peringkat antarabangsa, jambang juga kembali dipandang sebagai aksesori berkepentingan.

Apalah gunanya jika penampilan segak bak lelaki budiman tidak disempurnakan dengan jambang pada wajah?

Mungkin ideologi padanan sut dan jambang kurang diminati lelaki Malaysia kerana faktor cuaca menyekat trend ini daripada berkembang pantas dalam kalangan jejaka tempatan.

Namun tanggapan yang mengaitkan jambang hanya sempurna disatukan bersama sut adalah tidak benar sama sekali.

Justeru tercetuslah pelbagai produk penumbuhan jambang jenama anak tempatan yang mengambil inisiatif untuk merancakkan gerakan lelaki berjambang di sini.

Menurut, Husni Mubarak, 25, dan Farhan Idris, 24, “Kami mahu mendidik lelaki Malaysia agar tidak meletakkan stereotaip bahawa jambang hanya boleh disimpan mereka yang bersut segak.

“Jambang juga boleh disimpan lelaki yang berpakaian kasual atau fesyen jalanan.

“Produk yang merangsang penumbuhan jambang ini turut dicipta sebagai peledak semangat lelaki.

“Sebenarnya ramai lelaki yang kurang berkeyakinan dengan penampilan diri terutama yang tidak mempunyai misai, kumis, janggut atau jambang.

“Apabila mereka berjambang, sisi maskulin dapat ditingkatkan sekali gus membuatkan mereka lebih yakin.

“Malah golongan wanita juga difahamkan lebih tertarik kepada lelaki berjambang,” jelas Farhan.

 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info