AA's blog

Adrina Adie

Cara-cara Memupuk Semangat Kejiranan


Jiran ialah orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah kita. Jiran memberi kesan baik atau buruk kepada kita dan keluarga. Ini kerana jiran yang baik akan mengembirakan kita, manakala jiran yang sebaliknya akan menyebabkan kita sengsara seperti pergaduhan dan sebagainya. Oleh itu, sewajarnyalah kita sentiasa memupuk semangat kejiranan.

Antara cara memupuk semangat kejiranan adalah dengan saling tegur-menegur dan kunjung-mengunjungi sesama jiran. Aktiviti ini boleh dilakukan semasa perayaan, jiran sakit, kelahiran anak, kenduri dan lain-lain lagi. Ini akan mengeratkan hubungan kejiranan kerana kita saling mengambil berat antara satu sama lain.

Selain itu, semangat kejiranan dapat dipupuk dengan kegiatan gotong-royong. Melalui aktiviti ini, kita dapat berkenalan, bertanya khabar berbual-bual dan sebagainya. Justeru, kita dapat mengenali jiran dengan lebih rapat lalu mengeratkan hubungan sesama jiran.

Di samping itu, kita mestilah mempunyai sikap perihatin terhadap masalah jiran. Apabila jiran kita mengalami kesusahan seperti kereta rosak dan sebagainya, kita mestilah bersedia menghulurkan bantuan sekadar mampu jika diperlukan. Dengan itu, lahirlah sikap hormat-menghormati dan kasih sayang sesama jiran.

Kesimpulannya, kita mestilah berbuat baik kepada jiran tetangga. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk mengeratkan kejiranan seperti mengada aktiviti hari keluarga sesama jiran terdekat. Pupuklah semangat kejiranan agar hubungan kita dengan jiran tetangga sentiasa aman dan harmoni.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info