AA's blog

Adrina Adie

Siapa yang godam Hacking Team?


Tiada maklumat yang selamat jika ia disimpan dalam pelayan yang dihubungkan pada internet.

Bagaikan karma, syarikat yang menjual dan menawarkan aplikasi menggodam dan pengintipan Hacking Team juga diserang pakar komputer yang setanding dengannya.

Lebih 400 gigabait data termasuk dokumen, invois, email dan akaun media sosial diceroboh lalu didedahkan di internet Ahad lalu.

Jadi siapa yang menggodam Hacking Team syarikat yang berpangkalan di Itali itu?

Jurucakap syarikat itu, Eric Rabe memberitahu ia bukan kerja penggodam aktivis biasa ataupun penggodam amatur, sebaliknya sebuah serangan yang sangat canggih.

Menurut temubual yang dilakukan bersama International Business Times United Kingdom, setakat ini semua orang termasuk media hanya mampu membuat spekulasi tentang siapa yang menggodam pelayan Hacking Team.

"Berdasarkan siasatan forensik yang dijalankan di sini, kami mendapati ia satu serangan yang sangat canggih dan bukan kerja seorang amatur. Pihak media memberi gambaran seakan bahawa ia dilakukan aktivis hak asasi manusia tetapi ia jauh dari sebarang kemungkinan dan ia besar kemungkinan aktiviti jenayah atau melibatkan agensi kerajaan," kata Rabe.

Rabe turut menyatakan serangan yang dilakukan merupakan satu jenayah antarabangsa.

Namun jarang sekali kumpulan penjenayah siber atau kerajaan akan mendedahkan segala maklumat di internet.

Bagi menjawab pertikaian itu, Rabe menyatakan serangan dilakukan untuk mengganggu operasi syarikat itu dan buat masa ini semua masih lagi di peringkat spekulasi.

Pesaing Hacking Team seperti Gamma International dari United Kingdom dan juga NSO Group yang berpangkalan di Israel turut disebut sebagai dalang serangan itu.

Pada masa sama, Rabe menegaskan tiada bukti yang menunjukkan syarikat itu melakukan kesalahan dalam kesemua data yang didedahkan.

Malah kecaman sesetengah pihak terhadap Hacking Team kerana menjual perisian kepada Sudan sebenarnya dilakukan pada 2012, sebelum negara itu memasuki senarai hitam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Hacking Team menjual aplikasi pengintipan kepada agensi keselamatan negara termasuk Bahrain, Uzbekistan, Habsyah dan Sudan yang didakwa digunakan untuk memantau aktiviti orang awam.

Dalam dokumen yang didedah, Malaysia dilaporkan turut tersenarai sebagai pelanggan Hacking Team selain Rusia dan Amerika Syarikat.

Aplikasi pengintipan yang menggunakan sistem kawalan jauh ataupun remote control system, Da Vinci mampu melepasi segala aplikasi keselamatan termasuk anti-virus.

Sistem operasi Apple, iOS yang diubah suai atau melalui proses jailbreak juga terdedah kepada pengintipan aplikasi syarikat itu.

Berdasarkan dokumen yang terdedah itu lagi, perisian yang dijual pada harga lebih daripada AS$55,000 itu turut mampu memantau komunikasi Skype, aplikasi permesejan WhatsApp dan Viber, selain mengumpul maklumat lokasi, senarai hubungan dan panggilan.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info