Polis akan menyiasat Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan susulan kenyataan yang dibuatnya terhadap Tengku Mahkota Johor (TMJ) baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui mesej WhatApp kepada media, berkata beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Nazri dan mengesahkan pihaknya akan merekod kenyataan daripada menteri itu tidak lama lagi.
"Bukan Akta Hasutan, tetapi di bawah Seksyen 505b Penal Code," kata Khalid ketika membetulkan laporan media.
Dalam pada itu, pelbagai NGO di Johor telah membuat laporan polis terhadap Nazri susulan kenyataannya terhadap TMJ selain mahu menteri berkenaan menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada TMJ
Dalam perkembangan yang sama, ahli exco kerajaan negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan dalam satu kenyataan semalam menasihati Datuk Seri Nazri Abdul Aziz supaya tidak bersikap “kurang ajar.”
"Saya menyarankan agar menteri ini lebih muhasabah diri dan cermin diri kerana jawatan menteri tidak boleh digunakan sebagai alat untuk bersikap kurang ajar." - Datuk Zulkurnain Kamisan
"Rakyat Johor tidak pernah sesekali menderhaka dan kita akan menentang setiap anasir yang boleh merosakkan perpaduan antara rakyat Johor," kata Zulkurnain