AA's blog

Adrina Adie

Ingat lah 5 Perkara Sebelum 5 Perkara


Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Hadis ini merupakan satu peringatan dan tarbiah terbaik buat setiap umat agar sentiasa berwaspada dengan waktu kehidupan yang banyak cabarannya. Bagi mereka yang terpesona dengan tipu daya dunia pasti akan alpa dan leka dengan putaran kehidupan lalu mensia-siakan anugerah masa 24 jam sehari yang dikurniakan kepada seluruh umat manusia.

Menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi memberi peringatan kepada kita agar menggunakan kebijaksanaan diri mengurus detik waktu kehidupan sebaik mungkin supaya kita kelak tidak menjadi orang yang rugi.

Seseorang hamba Allah yang selalu mensyukuri nikmatNya akan memahami tujuan dan matlamat kehidupan ini dan menjadikan dunia ini sebagai ladang untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala dan seterusnya menjadikan ia sebagai peluang untuk menempah istana syurga di akhirat buat selama-lamanya.

Dengan menjadikan lima perkara utama iaitu masa sihat, masa kaya, masa lapang, masa muda dan masa hidup sebagai asas kehidupan agar kita selalu terbimbing ke arah kehidupan yang bermakna di dunia dan juga alam akhirat nanti.

Sesungguhnya peringatan tentang masa itu sendiri disebut oleh Allah SWT dalam ayat-ayat suci al-Quran, antaranya seperti surah ad-Dhuha ayat 1-2, surah al-Lail ayat 1-2. Surah al-Fajr juga ayat satu 1-2 dan dalam surah al-Asr ayat pertama. Dalam ayat-ayat ini, Allah SWT menjelaskan tentang peri pentingnya kita memanfaatkan waktu, sehingga ramai ahli cerdik pandai menyifatkan nilai masa itu tiada tukarannya walau dengan nilai emas sekalipun.

Begitulah dengan waktu sihat yang menjadi mahkota berharga bagi orang yang sakit. Sebab itu kita sendiri dianjurkan untuk menjaga kesihatan diri supaya dengan kualiti kesihatan yang baik, kita dapat beribadah kepada Allah SWT sebaik mungkin. Kata orang, dengan wang kita boleh membeli ubat, tetapi kita tidak mungkin boleh membeli kesihatan. Oleh itu, memelihara kesihatan dengan mengamalkan cara hidup seperti anjuran Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik panduan bagi kehidupan kita.

Umpamanya baginda Rasulullah berpesan kepada kita agar makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang sebagai satu amalan cara hidup sihat yang pastinya akan menyumbang kepada tahap kesihatan yang terbaik. Malah baginda melarang sama sekali kita mengambil makanan yang boleh memudaratkan diri sendiri kerana kemudaratan amat rapat dengan kerosakan. Disaat kita sihat inilah, waktu untuk kita perbanyakkan amal ibadah kepada Allah SWT, dan sekiranya pada suatu masa kita diuji dengan kesakitan kita tetap menjadi orang yang tabah mendepani ujianNya. Oleh itu, jadilah orang yang benar-benar bijak memanfaatkan waktu sihat dengan memperbanyakkan amalan yang mendekatkan diri kita kepadaNya.

Begitu juga waktu ketika kita mendapat nikmat kesenangan dan kekayaan daripada Allah SWT. Dengan harta dan wang, kita menjadi orang yang banyak membuat kebajikan seperti bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan. Tidak ada sebab bagi kita untuk menjadi bakhil atau berkira- kira dengan kurniaan nikmat Allah kepada kita. Membuat amal kebaikan bukanlah bermakna hanya apabila kita mempunyai harta melimpah ruah atau wang ringgit yang banyak, tetapi sedikit peruntukan wang hasil dari pendapatan yang kita perolehi juga mungkin akan menjadi pintu yang membuka jalan kita menjadi ahli syurga asalkan ia dilakukan dengan ikhlas. Malah baginda Rasulullah sendiri amat sukakan sesuatu yang sedikit, tetapi dilakukan secara istiqamah.

Ketiga adalah masa lapang sebelum sibuk yang memberi peringatan kepada kita supaya jangan sesekali mengabaikan waktu kita dengan perkara yang sia-sia atau membiarkan sahaja hari berlalu tanpa ada sebarang makna. Berbekalkan ilmu yang ada, serta kecerdikan fikiran yang Allah berikan kepada kita digunakan semaksima mungkin untuk membuat kebaikan dan mentaati segala perintah Allah. Waktu lapang yang kita miliki inilah digunakan sebagai satu peluang untuk selalu mendekatkan diri dengan Allah menerusi usaha dan inisiatif kita menggali sebanyak mungkin ilmu Allah yang Maha Luas ini.

Masa yang berlalu tidak mungkin kembali lagi. Justeru, kita hendaklah selalu mengisi ruang kesenangan dan kelapangan waktu dengan ilmu agama Allah. Amatlah malang bagi kita sekiranya kelapangan waktu yang kita miliki tidak dimanfaatkan dengan perkara yang membawa kebaikan. Apatah lagi pada zaman ledakan teknologi hari ini seperti kemunculan pelbagai bentuk laman sosial, gajet yang menawarkan pelbagai permainan yang jika tidak dikawal dengan bijaksana akan memusnahkan waktu lapang kita.

Oleh yang demikian, jangan sesekali membiarkan waktu kita disibukkan dengan peralatan komunikasi atau jaringan sosial yang sebenarnya tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kita apatah lagi amal ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Begitu juga kita sering diperingatkan dengan masa muda sebelum datangnya waktu tua. Masa muda adalah masa untuk berjuang mendapatkan ilmu dan beribadah secara bersungguh-sungguh kepada Allah yang Maha Agung. Masa muda merupakan masa yang sangat berharga seumur hidup, kerana sesiapa yang memanfaatkan waktu untuk dirinya, dia akan beruntung dan selamat. Seseorang muslim itu juga akan berada di bawah naungan Allah SWT ketika tidak ada naungan kecuali naunganNya.

Begitu juga barangsiapa mensia-siakan masa muda dengan godaan hawa nafsu dan berfoya-foya, maka dia adalah orang yang rugi. Jika seseorang itu usianya sehingga waktu tua pun tidak diisi dengan mencari agama Allah, juga tergolong dalam mereka yang tidak beramal soleh juga termasuk dalam kalangan orang yang menderhakai Allah. Seperti kata-kata cendekiawan, ‘seandainya masa muda itu kembali sehari saja, Saya akan beritahukan penyesalan orang yang sudah tua’. Ini merupakan satu bentuk peringatan kepada golongan muda supaya manfaatkan waktu siang untuk berpuasa, waktu malam untuk solat, waktu senang melangkahkan kaki untuk pergi ke masjid. Jangan sesekali waktu di usia muda digunakan hanya untuk menurut kata hawa nafsu yang merosakkan diri kita.

Seperti petikan kata hikmah iaitu jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu siang. Jika engkau berada di waktu siang, janganlah menunda sampai hari esok. Gunakan waktu sihatmu untuk mencari bekal di waktu sakit, dan hidupmu untuk mencari bekal di waktu sesudah mati.

Kelima, adalah memanfaatkan waktu hidup sebelum datangnya ajal dengan selalu memasang niat untuk memperbaiki amalan diri agar menjadi insan yang diredhai Allah dan menjadi hamba Allah yang akan mendapat naunganNya di akhirat nanti. Kita sebagai hambanya tidak akan lupa untuk mentaati segala perintahNya dan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang membawa kepada kemungkaran.

Akhir sekali, mari sama-sama kita merenungi Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya bahawa pada suatu zaman akhir nanti, akan semakin banyak manusia yang tertambat hatinya kepada kehidupan dunia seperti dalam hadis yang menyatakan ‘akan datang kepada umatku suatu zaman, iaitu mereka cinta kepada lima perkara dan lupa kepada lima perkara yang lain iaitu cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat. Cinta kepada harta dan lupa kepada perhitungan. Cinta kepada makhluk dan lupa kepada Khaliq. Cinta kepada dosa dan lupa kepada taubat dan Cinta kepada Mahligai dan Lupa kepada Kubur’.

Mudah-mudahan kita semua terhindar dari fitnah yang menghumbangkan kita ke dalam api neraka yang penuh azab dan kepedihan. Oleh itu mari kita mengambil iktibar dari lima perkara yang awal sebelum datangnya lima perkara yang lain ketika masih ada waktu untuk diri kita di bumi Allah SWT ini.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info