AA's blog

Adrina Adie

Sejarah Asal usul Melayu

Sejak sekian lama, pelbagai teori yang menafikan hakikat masyarakat Melayu berasal dari alam kepulauan Melayu, ditampilkan oleh ramai sarjana dan sejarawan Barat.

Disebabkan tiada kepakaran bagi menyelidik kesahihannya berpuluh tahun lalu, teori itu diterima dan 'menyubur' di kalangan sebilangan besar masyarakat ketika itu.

Keadaan bagaimanapun semakin berbeza kini apatah lagi sejak 1980-an, pelbagai penyelidikan dilakukan dan banyak dapatan terbaharu diperolehi penyelidik tempatan bersandarkan penemuan, sekali gus menyingkir teori terdahulu yang tidak menyeluruh.

Bagaimanapun, bukan mudah menolak 'teori' yang sudah tertanam dalam fikiran sebahagian masyarakat sejak sekian lama meskipun bukti dari sudut dapatan DNA yang tidak dapat dimanipulasi, sudah ditampilkan kalangan pengkaji.


Antara teori popular yang terus dicanangkan mengenai asal bangsa Melayu sehingga kini termasuk, Out of Taiwan yang dipelopori ahli arkeologi Australia, Peter Bellwood berdasarkan penyelidikan bahasa Austronesia oleh pakar linguistik Amerika Syarikat (AS), Robert Blust.

Menurut Blust, bahasa Austronesia yang termasuk dalam bahasa Melayu Polinesia berasal dari Taiwan berdasarkan sembilan cabang bahasa Austronesia yang dikesan di negara itu.

Teori Out of Taiwan itu menganggap bahasa Austronesia tersebar ke Asia Tenggara dan Kepulauan Polinesia selepas berlaku penghijrahan keluar penuturnya dari Taiwan sekitar 10,000 ke 6,000 Sebelum Masihi (SM).

Ini menumbuhkan kepercayaan etnik Melayu Polinesia merangkumi etnik Melayu, Iban, Bidayuh, Kadazan-Dusun, Murut, Penan, Jawa, Bugis, Minangkabau, Kerinci dan pribumi di rantau ini dan sekitar lautan Pasifik, dikatakan berasal dari Taiwan.

Antara sarjana tempatan terawal yang melakukan kajian bagi menolak dakwaan itu ialah ahli akademik yang kini Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh yang melakukan kajian mengenainya pada tahun 1994.

Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh
Prof. Wan Hashim pada asalnya membuat kajian mengenai orang Melayu di Sri Lanka sekitar 1980-an, bertemu penyelidik arkeologi dan sejarah dari negara itu, Prof de Silva yang menganalisis bahan arkeologi dan mendapati sudah wujud tamadun di alam Melayu sejak 15,000 SM.

"Perkongsian itu menyedarkan saya mengenai percanggahan besar di antara teori ditimbulkan Galden dengan penemuan oleh De Silva menyebabkan saya sendiri berkunjung ke Yunnan lebih 20 tahun lalu yang kajian dan penelitian melalui data antropologi serta linguistik mendapati daripada 26 etnik di sana, tidak ada satu pun daripadanya menyerupai masyarakat Melayu.

"Unsur Melayu hanya terdapat di Hainan dan Taiwan bagaimanapun kemudian, didapati mereka sebenarnya adalah serpihan daripada etnik Champa yang berhijrah daripada Selatan ke Utara.

"Sekiranya Melayu berasal dari Yunnan atau Selatan China, pasti ada kumpulan induk Melayu di sana, tidak mungkin kesemuanya pupus kerana kita mempunyai lebih 200 juta manusia di alam Melayu," katanya kepada media ketika ditemui di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Wan Hashim, kajian mengenai asal usul Melayu di Malaysia bukan setakat bersumberkan daripada satu kaedah, tetapi menggabungkan penemuan arkeologi, antropologi daripada aspek budaya dan bahasa linguistik serta kajian DNA.

Katanya, hasil kajian oleh sejarawan tempatan menunjukkan alam Melayu sudah diduduki manusia sekitar 72,000 SM, atau kira-kira 2,000 tahun sebelum meletusnya gunung berapi Toba yang menggegarkan kawasan Tenggara Asia.

"Ia juga selari dengan teori Out of Sundaland oleh Ahli Sains Universiti Oxford, Dr Stephen Oppenheimer berasaskan analisis DNA, arkeologi dan etnologi yang mengatakan Asia Tenggara sebagai pusat awal peradaban dunia dinamakan Sundaland sekitar 16,000 tahun lalu.

"Melalui penemuan data DNA juga, didapati masyarakat di alam Melayu adalah tamadun kedua tertua di dunia mencecah 70,000 tahun selepas Afrika yang mempunyai manusia tua paling kuno sekitar usia 150,000 tahun," katanya.

Dr Stephen Oppenheimer
Teori Oppenheimer yang selari dengan bukti genetik oleh Human Genome Organisation, mengatakan benua Sunda ditenggelamkan banjir besar disebabkan kenaikan paras air laut menyebabkan hanya kepulauan Melayu tinggal di atas paras air.

Disebabkan itu, sebahagian besar penduduk benua Sunda terpaksa berhijrah ke tempat lain termasuk ke Indochina dan Taiwan di utara dan ke pulau Pasifik Selatan di timur serta ke Madagascar di barat.

Menurut Wan Hashim yang juga penulis Rumpun Melayu: Teori Migrasi dan Diaspora itu, satu lagi rumpun masyarakat Melayu ialah bangsa Polynesia termasuk masyarakat Samoa di Hawaii dan Kepulauan Solomon yang berhijrah ke kepulauan Pasifik atas pelbagai faktor.

"Mereka ini berasal dari alam Melayu dan banyak menggunakan bahasa Melayu. Mungkin berlaku satu bencana alam atau malapetaka yang menyebabkan mereka berhijrah ke Kepulauan Pasifik. Kebanyakannya sudah berhijrah lebih awal sekitar 5,000 sm," katanya.

Kata Wan Hashim lagi, Oppenheimer dan Pensyarah University of Campinas Sao Paulo, Brazil, Profesor Dos Santos turut menamakan Benua Sunda sebagai 'The Lost Continent of Atlantis' seperti digambarkan ahli falsafah Greek, Plato dalam Timaeus and Critias.

Profesor Dos Santos
"Pada mulanya The Lost Continent of Atlantis dikatakan berada di Sepanyol tapi Oppenheimer dan Santos merumuskan ciri Atlantis banyak menyamai alam Melayu atau Sundaland.

"Menurut mereka, alam Melayu yang bersambung dari Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan pulau sekitarnya hingga ke Filipina, membentuk satu benua yang saiznya ialah dua kali ganda daripada benua India sebagai Atlantis yang hilang," katanya.

Dalam pada itu, Wan Hashim cuba mengaitkan dapatan saintifik dengan ilmu naqli bersumberkan kitab al-Quran dengan mengatakan manusia daripada alam Melayu kemungkinan berasal dari Asia Barat.

Katanya, ilmu al-Quran yang menyatakan manusia berasal daripada Nabi Adam dan Hawa tidak bercanggah dengan dapatan Sains bagaimanapun perlu dilakukan kajian lebih mendalam mengenai kemungkinan teori ini.

Katanya, kemungkinan pada masa itu suhu semakin panas menyebabkan sebahagian daripada mereka meninggalkan kawasan itu untuk ke arah Timur dan mendapati alam Melayu paling sesuai didiami manusia.

INFO: Teori penghijrahan manusia membabitkan alam Melayu yang ditolak

1. Teori Out of Sundaland
Teori popular penghijrahan dari Taiwan ke Alam Melayu oleh pakar linguistic, Robert Blust dan ahli arkeologi, Peter Bellwood (1999), bersandarkan pada Formosan iaitu bahasa yang ditutur puak etnik di Taiwan dan bukti antikuiti di Bellwood melalui artifak neolitik yang ditemui di Filipina.

Blust membuat rumusan bahasa Austronesia yang termasuk dalam bahasa Melayu Polinesia berasal dari Taiwan berdasarkan sembilan cabang bahasa Austronesia yang dikesan di negara itu. Bahasa Austronesia tersebar ke Asia Tenggara dan Kepulauan Polinesia disebabkan berlakunya penghijrahan keluar penuturnya dari Taiwan sekitar 10,000 ke 6,000 Sebelum Masihi (SM).

2. Teori Melayu dari Yunnan
Beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern dan Robert von Heine Geldern melakukan penyelidikan secara kasar mengenai latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno dan menyimpulkan mereka ialah kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunnan di China dan kemudian berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia sebelum menduduki wilayah Asia Tenggara.

Teori ini disokong beberapa sarjana kerana penemuan kapak tua di Asia Tengah di Kepulauan Melayu yang didakwa menunjukkan pergerakan penduduk dari Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info