AA's blog

Adrina Adie

Hutang luar Malaysia kini meningkat kepada RM740 bilion


Hutang luar negara Malaysia kini meningkat lebih 3.5 kali ganda dalam tempoh kurang dari setahun iaitu RM196 bilion pada hujung tahun 2013 kepada RM740.7 bilion pada suku tahun ketiga 2014.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Selayang Wiliam Leong, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenaikan tersebut disebabkan "definisi baru" untuk hutang luaran pada 2014.

Hampir dua pertiga kenaikan adalah kerana pegangan bon Malaysia oleh warga asing, yang kini dianggap sebagai hutang luaran.

Leong memberi amaran ia merupakan senario berkait rapat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana sebagai besar daripada hutang RM42 bilion syarikat itu dipegang orang asing.

"Di sinilah firma seperti 1MDB tergolong dan hutang luar negara yang besar itu ialah kerana syarikat tersebut berhutang dengan orang asing," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Najib berkata, setakat Disember 2014 hutang negara mencecah RM582.8 bilion atau 54.5% dari Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Dari jumlah keseluruhan, 97.1 % atau RM566.1 bilion merupakan hutang domestik, sementara RM16.8 bilion atau 2.9% merupakan pinjaman luar.

"Hutang Kerajaan Persekutuan kekal di bawah kawalan dan dikategorikan sebagai negara dengan hutang yang sederhana," katanya.

Beliau berkata, Putrajaya kekal komited memastikan hutangnya tidak melebihi 55% dari KDNK. Langkah konsolidasi fiskal akan terus diambil bagi mengurangkan defisit.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info