AA's blog

Adrina Adie

8 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Caliph Buskers



Seperti yang kita sedia maklum, vokal yang mantap dan bertenaga daripada vokalis Caliph Buskers, Sdr Azmi Saat berjaya menggamatkan AJL 29 dan berjaya menerima Standing Ovation dari penonton. Tetapi ada 8 perkara menarik yang anda perlu tahu tentang Caliph Buskers ini.


1. Kumpulan Busker OKU

Siapa sangka kumpulan Caliph Buskers yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan ini diberi peluang oleh Komposer besar tanahair Edry KRU untuk bersama-sama mempersembahkan bakat luar biasa mereka di pentas akhir Angerah Juara Lagu ke 29 (AJL 29). Walaupun mereka ini Buskers OKU, namun mereka juga memiliki bakat bermain alat muzik yang hebat dan vokal yang mantap.

2. Menyanyi Depan Sogo

Kumpulan yang terdiri daripada 6 orang ahli ini sering kali membuat persembahan di sekitar Sogo dan Avenue K. Caliph Buskers juga telah bersama MYBC yang merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang menggabungkan golongan Penghibur Jalanan bagi mentransformasi industri busking dan menaiktaraf karier buskers.

3. Pendapatan RM50 – RM60 Sehari

Caliph Buskers yang dianggotai oleh Fendy, Mohd Zaki, Nirwan Zainal, Khairul Azmi, Nor Nadira dan Syahzmeen ini telah ditubuhkan sejak setahun yang lalu. Kebiasaannya mereka meraih pendapatan sekitar RM50 hingga RM60 sepanjang 3 jam membuat persembahan setiap hari kecuali hari Jumaat. Antara sebab mengapa mereka hanya membuat persembahan selama 3 jam ialah ingin berkongsi rezeki dengan busker yang lain untuk beraksi di kawasan itu (Hadapan Sogo dan sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman).

4. Persembahan Di Majlis Kahwin Alif Satar

Percaya atau tidak, Caliph Buskers juga pernah diundang untuk menghiburkan tetamu yang hadir di majlis resepsi perkahwinan penyanyi, Alif Satar. Malah Caliph Buskers turut beberapa kali diundang pelbagai pihak untuk mempersembahkan bakat mereka.

5. Ganti Penyanyi Asal MOJO, Aweera

Ternyata langkah Edry untuk tidak menggunakan khidmat Aweera sebagai vokalis bagi mempersembahkan lagu Romancinta sungguh tepat. Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat berjaya menyanyikan lagu tersebut dengan cukup baik sekali malah turut mendapat standing ovation dari penonton yang hadir.

6. Mengikuti Bengkel Buskers anjuran DBKL

Siapa sangka, Buskers juga mengikuti kursus khusus bagi memantapkan mutu persembahan dan tahap profesionalisma pemuzik jalanan. Caliph Buskers telah menghadiri Bengkel Buskers anjuran DBKL pada 22-24 Disember 2014.

7. Menang Persembahan Terbaik AJL 29

Rata-rata penonton yang menyaksikan AJL 29 di Stadium Bukit Jalil mahupun di rumah pastinya terpukau dengan suara dan bakat terpendam yang dimiliki oleh Caliph Buskers. Usaha gigih mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-29 dan sekalu gus membawa pulang hadiah sebanyak RM 12,000.00. Sememangnya mereka memang layak!

8. Juara Sebenar Buat Rakyat Malaysia

Ramai yang bersetuju, Caliph Buskers merupakan pemenang di hati seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan AJL 29. Walaupun dilahirkan dengan serba kekurangan jika dibandingkan manusia normal, namun berbekalkan bakat dan semangat yang ada, merekalah pemenang sebenar.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info