AA's blog

Adrina Adie

Apa lagi perlu dilakukan untuk memerangi rasuah di Malaysia?

Dr Anis Yusal Yusoff: Apa makna integriti pada anak muda hari ini kalau dalam usaha memupuk nilai baik ini, kita membiarkan mereka menjadi materialistik.

Seorang sahabat menghubungi penulis baru-baru ini untuk memaklumkan bahawa seorang kenalan rapat kami ditangkap oleh SPRM atas tuduhan rasuah.

Apa pun tuduhannya dan apa pun sabit kesalahan jika didapati bersalah ataupun sebaliknya, yang pasti nama baik beliau dan keluarganya telah tercemar sebaik sahaja berita penangkapan beliau disebar dan gambar disiarkan di dada-dada akhbar.

Soalnya sejauh mana perasaan malu akibat pendedahan itu akan menimbulkan kesedaran kepada seseorang? Apa pula reaksi masyarakat sekeliling dengan pendedahan sebegini? Bagaimana pula halnya sekiranya beliau didapati tidak bersalah sedangkan nama beliau telah tercemar?

Persoalan-persoalan ini timbul dalam benak fikiran penulis sebagai usaha untuk cuba memahami dengan lebih mendalam tentang apa lagi yang perlu kita lakukan sebagai sebuah negara untuk memerangi rasuah di Malaysia ini.

Setahun yang lalu, penulis menghasilkan sebuah buku bersama beberapa orang teman dengan judul, “Memerangi Rasuah di Malaysia: Cukupkah usaha kita?”

Hari ini persoalan yang timbul adalah tentang apa lagi yang perlu kita lakukan?

Lebih penting pada penulis mungkin perlu untuk kita mendidik anak-anak kita dengan nilai-nilai murni dan memupuk mereka dengan integriti.

Apa makna integriti pada anak muda hari ini kalau dalam usaha memupuk nilai baik ini, kita membiarkan mereka menjadi materialistik.

Lebih buruk lagi kalau kita tidak sekat kerakusan dan sifat tamak haloba sesetengah orang yang melanggar semua etika hidup semata-mata untuk mencapai matlamat akhir mereka dan orang-orang jenis ini pula yang selalunya dijadikan idola anak-anak muda masa kini.

Walaupun pada hari ini, hampir setiap masa kita didedahkan dengan pelbagai kes penyelewengan dan salah guna kuasa, namun kita tidak melihat pendedahan-pendedahan ini dapat menginsafi masyarakat terbanyak.

Sebaliknya laporan Ketua Audit Negara setiap tahun dapat dijadikan bukti bagaimana perkara-perkara yang sama berulang setiap tahun dan seolah-olah kita tidak pernah belajar daripada laporan yang sudah-sudah.

Akhir-akhir ini pula, kita melihat trend terkini dalam media sosial, yang mana pelbagai pihak saling tuduh menuduh tentang siapa yang lebih hebat dalam menyalahgunakan wang simpanan rakyat tidak kira dalam bentuk apa dan di simpan di mana.

Sama ada tuduhan tersebut berasas atau tidak, tidak ada siapa yang ambil peduli. Yang penting pada ramai orang, adalah berita siapa yang lebih sensasi.

Mungkin pada waktu-waktu begini, elok kita imbas kembali dan mengenang kepada keberanian seorang anak muda yang mati semasa bertugas hanya kerana si pembunuh khuatir anak muda ini telah mempunyai bukti yang kukuh untuk melaporkan tentang penyelewengan yang juga mencecah berbilion dollar pada waktu itu.

Anak muda yang berusia 34 tahun pada ketika beliau dibunuh pada 21 Julai 1983, meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang berusia antara enam bulan ke enam tahun.

Soalnya berapa ramai lagi yang harus mengikut jejak Allahyarham Jalil Ibrahim sebelum kita sedar kepada semua keterlanjuran kita ini.

Baru-baru ini YAB Perdana Menteri membentangkan RMK-11, antara perkara yang tertera dalam dokumen RMK-11 dalam konteks integriti yang perlu disebut adalah kepentingan untuk mempertingkatkan integriti anggota penguatkuasaan.

Suruhanjaya Integriti Anggota Penguatkuasaan telah ditubuhkan empat tahun yang lalu dengan hasrat untuk melaksanakan usaha ini. Ini bagi mengelakkan daripada “mengharapkan pegar, pegar memakan padi”.

Kerajaan juga telah menggariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, bahawa etika dan kerohanian sebagai satu daripada enam keberhasilan pelajar yang dihasratkan.

Kurikulum persekolahan formal, daripada prasekolah hingga ke pengajian tinggi akan dipertingkatkan untuk mencapai keberhasilan yang ditetapkan.

Perlu dilaksanakan lebih banyak kempen untuk menanam nilai pemikiran sivik dan integriti dalam kalangan belia. Lebih-lebih lagi kepada belia berisiko tinggi.

Institut Integriti Malaysia harus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mencari jalan bagi mencapai hasrat ini.

RMK-11 juga agak menarik kerana dalam usaha untuk memupuk persefahaman, toleransi dan etika, kerajaan bercadang untuk melaksanakannya melalui penglibatan masyarakat meluas.

Sebagai contoh, di peringkat masyarakat, Kerajaan akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan komuniti untuk menerap nilai etika dan moral melalui program dan kempen kesedaran bersasar yang khusus.

Pemimpin politik, masyarakat dan profesional disarankan dalam RMK-11 untuk menjadi contoh dan teladan bagi tingkah laku yang terpuji untuk diikuti oleh rakyat, terutamanya anak-anak muda terbanyak.

RMK-11 memberi penekanan bahawa usaha berterusan yang perlu diambil bagi memartabat integriti, membanteras rasuah, melaksanakan bajet berasaskan outcome dan memupuk nilai murni dalam kalangan penjawat awam.

Pada masa yang sama usaha untuk memperluas pelaksanaan Ikrar Integriti Korporat (CIP) dalam kalangan sektor swasta bagi melaksanakan inisiatif pencegahan rasuah perlu diselaraskan.

Pihak kerajaan berhasrat untuk mewujudkan kerjasama strategik dengan badan-badan kemasyakatan dan pertubuhan politik bagi melibatkan penyertaan bersama semua pihak ke atas inisiatif yang diambil dan akan bertindak sebagai agen perubahan.

Dalam konteks tadbir urus pada hari ini, semua pihak harus berani berkata benar biarpun risikonya sangat tinggi.

Allahyarham Jalil Ibrahim harus dijadikan idola anak muda masa kini.

Institusi awam negara ini akan hanya dihormati apabila kita mempunyai komitmen, integriti dan pengetahuan relevan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Institusi eksekutif, perundangan dan kehakiman yang bebas dan dipercayai dan memastikan hak rakyat dilindungi sepenuhnya akan membantu menjadikan Malaysia sebuah negara yang akan dihormati dunia.

Semoga semua usaha baik kita ini dirahmati Allah swt.

*Dr Anis Yusal Yusoff ialah Presiden Institut Integriti Malaysia
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info