AA's blog

Adrina Adie

8 tips keselamatan ketika menaiki eskalator


Kemudahan tangga bergerak atau eskalator di bangunan bertingkat, terutamanya di pusat beli-belah, banyak membantu pergerakan orang ramai ke lokasi yang dituju.

Namun di sebalik kemudahan ini, ramai yang tidak mengetahui bahawa eskalator juga mengundang bahaya yang boleh membawa maut jika tidak digunakan dengan betul.

Insiden kemalangan melibatkan tangga bergerak kerap didengari, namun seringkali dipandang ringan.

Jika diimbas beberapa kejadian yang dilaporkan berlaku di Malaysia, bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak turut menjadi mangsa.

Pada April lalu, seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh dari ketinggian lima tingkat di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa bermain-main di sekitar lobi eskalator sebelum terjatuh.

Satu lagi kes di mana tangan seorang kanak kanak lelaki berusia tiga tahun hancur apabila tersepit pada tangga eskalator.

Insiden berlaku pada 23 Julai lalu di sebuah pusat membeli belah di George Town.

Kemalangan melibatkan eskalator juga tidak hanya berlaku di Malaysia. Pada 27 Julai lalu, seorang wanita di China maut apabila lantai eskalator yang dinaikinya runtuh.

Walaupun berjaya menyelamatkan anaknya, namun orang ramai yang berada di situ tidak sempat membantu mangsa.

Keselamatan ketika menaiki eskalator, waima kedengaran seperti remeh, perlu diberi perhatian oleh banyak pihak.

Ketahui lapan tips keselamatan yang boleh dipraktikkan sama ada kepada diri sendiri mahupun anak-anak kecil.


  1. Awasi kanak-kanak setiap kali menaiki eskalator. Jangan benarkan mereka duduk, bermain atau bersandar pada selusur tangga bergerak.
  2. Sentiasa kekalkan jarak di antara kasut atau selipar dengan bahagian tangga yang sedang bergerak. Elakkan berdiri terlalu dekat dengan bahagian tepi eskalator.
  3. Setiap kali melangkah, perhatikan pakaian yang bertali atau labuh agar tidak terperangkap di antara alur eskalator.
  4. Pandang ke hadapan dan pegang kuat pemegang tepi eskalator. Larang kanak-kanak daripada memegang susur tangan kerana pergerakkannya yang laju boleh mengejutkan mereka.
  5. Mendukung kanak-kanak kecil adalah lebih baik daripada menyuruh mereka menaiki sendiri eskalator.
  6. Gunakan lif sekiranya membawa kereta sorong bayi, kerusi roda, skuter elektrik, bagasi dan lain-lain kerana kemalangan boleh berlaku sekiranya menggunakan eskalator.
  7. Semasa melangkah meninggalkan eskalator, jangan teragak-agak lantaran kelewatan boleh menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain di belakang.
  8. Berdiri di sebelah kiri dan beri ruang kepada pengguna yang sedang bergegas berjalan di sebelah kanan.


Selain panduan keselamatan buat pengguna, beberapa langkah keselamatan tambahan disaran dilaksanakan bagi mengelak tragedi sama daripada berulang. Antaranya dengan memasang penghadang tambahan, penyangga (guard rail) dan jaring keselamatan.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info