AA's blog

Adrina Adie

Nilai Ringgit Jatuh Menjunam Beri Impak Pada pelajar Malaysia di Luar Negara


Kejatuhan nilai ringgit dikhuatiri bukan sahaja memberi kesan segera kepada beberapa pihak seperti peniaga malah turut terkesan ialah komuniti pelajar Malaysia di luar negara.

Ini memandangkan ramai kalangan pelajar yang menuntut ke luar negara dengan biaya sendiri bertindak menangguhkan pembayaran yuran semata-mata untuk menunggu nilai ringgit kembali pulih.

Salah seorang pelajar Malaysia di Mesir, Ezwan Rafizi Zakaria mengakui ramai di kalangan rakannya yang bertindak menangguhkan pembayaran yuran kerana yakin ringgit akan kembali kukuh.

"Pelajar yang paling terasa ialah yang dibiayai sendiri ibu bapa. Dua tahun lepas kadar tukaran RM24,789 dan tahun lepas RM26,140. Tahun ini RM29,938," jelas Ezwan Rafizi.

Kata pelajar Universiti Mansoura tersebut, yuran terbabit melibatkan jurusan perubatan, pergigian dan farmasi yang ditetapkan pada AS$8,000 (RM30,400).

Data pada tahun 2013 menganggarkan sekitar 12,000 pelajar Malaysia menuntut di peringkat pengajian tinggi di Mesir.

Daripada jumlah itu, separuh melanjutkan pengajian dalam bidang sains kesihatan.

Begitupun, penantian mereka untuk melihat pemulihan ringgit menjadi sia-sia apabila ringgit berada di paras lebih rendah berbanding paras tambatan pada 1998 pada RM3.80 untuk setiap dolar.

"Tapi ringgit semakin turun (nilai) dan akhirnya mereka terpaksa bayar lebih banyak," jelas Ezwan Rafizi.

Matawang ringgit jatuh ke paras terendah pada Isnin ke paras sebelum ia ditambat dengan dolar Amerika pada September 1998.

Kejatuhan didorong risiko penyingkiran Greece dari Zon Euro dan sentimen negatif susulan laporan terhadap dana syarikat milik kerajaan 1 Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ringgit ditambat pada 3.80 sedolar Amerika ketika krisis kewangan Asia. Tambatan itu berakhir pada Julai 2005.

Sementara itu Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani bimbang situasi ini sekiranya berterusan akan mengakibatkan ramai pelajar luar negara terpaksa menangguhkan pengajian mereka dan pulang ke tanah air akibat kekangan kewangan.

Malah beliau juga menyuarakan kebimbangan akan berulangnya situasi sama seperti yang berlaku semasa krisis kewangan Asia 1997-98, yang menyaksikan ramai pelajar Malaysia di luar negara terpaksa akur dengan tekanan kewangan dan pulang dengan tangan kosong.

"Perkara ini (masalah kewangan pelajar) jika tak pantau akan bagi kesan kepada pelajar," tegasnya.

Beliau juga mengesa kementerian yang berkenaan segera memantau isu ini agar pelajar tidak terus dibelenggu dengan masalah kewangan yang secara tidak langsung menjejaskan tumpuan mereka.

Kebimbangan beliau ada asasnya apabila penganalisis menjangkakan nilai ringgit akan terus jatuh sekiranya masalah hutang Greece berlarutan.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info