AA's blog

Adrina Adie

KWSP Tawar ASB2 Di Bawah Skim Pelaburan Ahli


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan mulai 1 Julai 2015, Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (SPA-KWSP) susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohammad Najib Abdul Razak semasa membentangkan Pelan Malaysia ke-11 2016-2020 pada 21 Mei 2015.

Di dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) Mohamad Nasir Ab Latif berkata, “Dengan penyenaraian ASB2, terdapat sembilan dana yang ditawarkan di bawah SPA-KWSP yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Ahli yang ingin melabur di dalam dana ASB2 ini boleh berbuat demikian melalui ASNB, sebuah anak syarikat milikan penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).”

Di bawah SPA-KWSP, ahli boleh memindahkan sebahagian simpanan dalam Akaun 1 untuk pelaburan dana unit amanah melalui 24 Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan di bawah SPA-KWSP, seterusnya memberikan pilihan kepada ahli untuk menambah simpanan persaraan mereka. Di bawah skim ini, ahli boleh memindahkan simpanan mereka tidak melebihi 20 peratus setiap tiga bulan daripada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas.

Mohamad Nasir menambah ahli juga digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan Portal Informasi SPA-KWSP untuk mendapatkan maklumat tentang dana-dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA-KWSP serta IPD yang menguruskan unit amanah tersebut.

Portal ini, yang dilancarkan pada April 2015, merupakan inisiatif KWSP untuk ahli membuat penyelidikan sebelum mengambil sebarang keputusan pelaburan. Maklumat di dalam portal ini tidak mengandungi sebarang bentuk nasihat pelaburan atau syor oleh KWSP terhadap mana-mana dana unit amanah mahupun IPD.
 
Copyright © 2006 AA's blog - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info